Artikel ini dipetik dari rakan kami di TheSkop.com
Anda memiliki kereta mewah Bentley dan inginkan telefon pintar yang sepadan dengan kelas kereta anda ini? Usah gusar lagi. Pengeluar kereta dengan logo B bersayap ini baru mengumumkan telefon pintar edisi khas Bentley, yang dihasilkan oleh pengeluar telefon pintar paling eksklusif di dunia, Vertu.
Vertu memang terkenal sebagai pengeluar telefon pintar yang mementingkan gaya, mutu dan keunggulan perantinya. Tetapi dengan siri Signature Touch, Vertu memastikan ia lengkap dengan perkakas terbaik.
Vertu Signature Touch mempunyai skrin 5.2-inci HD penuh, yang menggunakan kaca kristal sapphire yang paling tahan lasak di dunia, selepas berlian. Ia dilengkapi kamera belakang 21MP dengan autofokus pengesanan fasa (PDAF) dan dwi-tona LED Flash, serta kamera depan 2.1MP.
Kuasa dalaman Signature Touch tidak jauh berbeza dengan peranti utama lain, tetapi ia memang berkuasa tinggi. Ia menggunakan CPU Qualcomm Snapdragon 810, bersama 4GB RAM dan storan dalaman sebesar 64GB. Memang berkuasa, tetapi tidak berbeza dengan OnePlus 2 yang berharga RM1,888 di Malaysia.
Bagi telefon pintar Vertu Signature Touch edisi khas Bentley ini, apa yang membezakannya dari model biasa Signature Touch, adalah logo Bentley yang timbul di atas kulit Beluga & Hotspur Bentley, dan dihiasi jahitan Hotspur.

Selain ini, ia juga datang dengan aplikasi khas Bentley yang memberikan pengguna akses khas dan kandungan VIP tentang Bentley. Aplikasi ini berjalan di atas sistem operasi Android 5.1 Lollipop. Seperti peranti Vertu yang lain, telefon ini mempunyai pembantu dedikasi Vertu LIFE dan CERTAINTY.

Harga telefon Vertu Signature Touch edisi Bentley ini? Hanya USD9,900 (~RM43,600). Pasti angka ini tidak seberapa dibandingkan dengan kereta Bentley milik anda. Kenali Vertu Signature Touch lebih lanjut di lamanweb Vertu.
