Artikel ini dipetik dari rakan kami, TheSkop.com
Xiaomi baru mengumumkan ketibaan Redmi 2 Enhance di Malaysia. Ia adalah telefon mampumilik dengan keupayaan tinggi, 2GB RAM, CPU 64-bit dan dwi-sim 4G LTE, semua ini di bawah RM500.
Tetapi, pasti ramai peminat ternanti-nanti produk utama dari Xiaomi, selepas pelancaran Mi 4i yang kelihatan tidak cukup memuaskan hati peminat tegar produk Xiaomi. Jika anda tergolong dalam golongan yang mahukan produk berprestasi tinggi Xiaomi, mungkin penantian itu bakal berakhir tidak lama lagi.
Kami baru sahaja menerima jemputan dari Xiaomi Malaysia, tentang pelancaran satu produk Xiaomi pada minggu hadapan, 22 Julai 2015. Kami jangkakan, Xiaomi Malaysia akan melancarkan telefon berprestasi tinggi, Mi Note ke Malaysia. Jangkaan kami ini berasaskan tiga perkara.

Pertama, Xiaomi akan mula menjual Mi Note di luar China, iaitu Hong Kong pada 21 Julai 2015. Kedua, Mi Note telah dikesan dalam pangkalan data SIRIM sejak bulan April 2015, menurut laporan kami di sini.
Ketiga, Xiaomi Malaysia sendiri semasa pelancaran Mi Note pada Januari 2015, telah menjanjikan Mi Note akan tiba di Malaysia pada suku kedua 2015, selepas kegagalan membawa Mi 4 LTE ke Malaysia.
Mi Note adalah siri terbaru dalam keluarga Xiaomi, menampilkan phablet berskrin 5.7-inci berprestasi tinggi. Ia dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 801 dengan 3GB RAM LPDDR3.
Baterinya berkapasiti 3000mAh dengan teknologi pengecasan pantas Quick Charge 2.0. Mi Note juga dilengkapi sistem audio Hi-fi berkualiti tinggi.
Skrin 5.7-inci pada Mi Note beresolusi HD Penuh 1920×1080, dengan kaca Corning Gorilla Glass 3. Kaca di hadapan mempunyai lengkung 2.5D manakala kaca di belakang pula 3.0D, memberi rasa genggaman yang lebih selesa.
Mi Note menyokong dwi-sim 4G LTE yang serasi dengan rangkaian Malaysia.
Kamera belakang Mi Note diperkasakan oleh sensor CMOS SOny IMX214, 13MP dengan apertur f/2.0 serta penstabil imej optikal (OIS). Ia juga mempunyai dwi Flash LED. Manakala kamera hadapannya hanyalah 4MP, berbeza dengan Mi4 yang mempunyai 8MP kamera hadapan. Tetapi kamera hadapan Mi Note ini menggunakan sensor lebih besar pada 2-mikron piksel.
Di Hong Kong, Xiaomi kelihatan hanya menjual Mi Note dengan storan 64GB sahaja, berharga HKD2999 (~RM1479). Nantikan laporan kami secara langsung di hari pelancaran minggu hadapan.
