Artikel ini dipetik dari rakan kami di TheSkop.com
TM sebelum ini bekerjasama dengan iflix, memberikan akses percuma kepada pelanggan Unifi. Hari ini, TM mengumumkan satu lagi kerjasama dengan Viu, servis ‘Over-the-Top (OTT) video-on-demand (VOD)’ yang disediakan oleh Vuclip.
Viu menyediakan servis OTT freemium, memberikan pengguna kandungan yang baru dan berkualiti dari studio terkemuka. Pengguna boleh menonton drama dan hiburan dari Malaysia, Indonesia, Hindi, Tamil, Bollywood, Korea dan banyak lagi.
Majlis pelancaran kerjasama servis OTT ini dirasmikan oleh CEO Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, bersama Pengarah Urusan Kumpulan PCCW, Srinivas Bangalore Gangaiah.
Bermula pertengahan Mac depan, pelanggan TM Unifi dan Streamyx boleh mengakses Viu, sebagai servis tambahan kepada HyppTV yang sedia ada.
Pengguna yang tidak melanggan Unifi atau Streamyx, juga boleh menonton Viu. Ia ditawarkan secara freemium. Pengguna boleh menonton banyak kandungan secara percuma. Tetapi dengan bayaran RM10 sebulan, ia memberi akses kepada kandungan premium tanpa sebarang iklan.
Viu boleh ditonton menerusi aplikasi mudahalih yang boleh dimuat turun di Google Playstore, ataupun menerusi pelayar di lamanweb www.viu.com. Aplikasi untuk iOS masih dalam pembangunan dan dijangka akan tersedia dalam masa terdekat.
Jika anda peminat kandungan hiburan dari Korea, Viu memberikan kandungan terkini dari KBS, MBC, CJ dan SBS. Drama terbaru seperti Oh My Venus, Moorim School dan Six Flying Dragons boleh ditonton di Viu. Malah, rancangan hiburan terkenal Running Man, turut terdapat di Viu.
Beberapa drama korea turut akan menerima sarikata Bahasa Inggeris dalam masa 8 jam selepas tayangan di Korea. Manakala sarikata Bahasa Malaysia akan tersedia dalam masa 24 jam. Pelbagai kandungan lain turut tersedia dalam pelbagai sarikata termasuk Bahasa Cina.
Untuk maklumat lanjut dan mula menggunakan Viu, layari lamanweb www.viu.com.
