Artikel ini dipetik dari rakan kami di TheSkop.com
Street Fighter V yang baru dilancarkan semalam, mendapat suntikan pembangun kreatif dari Malaysia. Capcom bekerjasama dengan Streamlines Studios, untuk menghasilkan pelbagai rekaan seni grafik dalam permainan Street Fighter V. Kebanyakan pembangunan ini, dilakukan oleh Streamline Studios di Malaysia.
Streamline Studios mengusahakan projek pembangunan Street Fighter V, bersama pasukan pembangun yang besar di pejabatnya di Kuala Lumpur. Ia adalah satu tempat yang mengumpulkan artis dan pembangun kandungan terbaik di dunia.
Studio di Kuala Lumpur ini juga kini dalam usaha membangunkan beberapa projek kerjasama bertahap AAA, dengan jenama IP terkemuka di dunia. Ia akan terus bekerjasama dengan Capcom di dalam Street Fighter V, serta beberapa lagi projek termasuk francais utama AAA yang akan diumumkan kemudian.
Platform Streamframe yang digunakan Streamline Studios, membolehkan pasukan pembangun Street Fighter V untuk bekerja dari mana-mana tempat di seluruh dunia, untuk menepati sasaran yang diletakkan, menurut Penerbit Kanan Street Fighter V di Capcom Amerika, Bochan Kim.
CEO Streamline Studios, Alexander Fernandez pula menerangkan, mereka berbesar hati mendapat kepercayaan Capcom. Projek berskala besar ini memerlukan kerjasama di semua tahap. Platform Streamframe yang direka untuk pembangunan permainan, dapat diintegrasikan dengan proses pembangunan Capcom, sekaligus menjimatkan masa dan kos.
Jika anda berminat membangunkan projek kreatif seperti Street Fighter V, Streamline Studios di Kuala Lumpur kini memerlukan tenaga untuk projek baru. Ia adalah satu peluang yang baik untuk belia Malaysia membuat kerja 3D dan projek kreatif lain.

