Penutup tirai: Berita teknologi hangat tahun 2015

Evolusi teknologi memang sentiasa akan berlaku setiap tahun, tidak terkecuali tahun ini. Jadi jika ada yang bertanya apa yang berlaku dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT pada 2015, apakah jawapan anda?

Sudah tentu perkara pertama yang diingati adalah kelam kabut cukai barangan dan perkhidmatan atau GST yang memberi kesan kepada semua gajet-gajet di Malaysia ini. Terkesan jugalah apabila mahu menbeli telefon, terpaksa membayar lagi 6% daripada nilai asal. 

Bil broadband atau jalur lebar, bil telefon dan bil-bil yang ada kaitan dengan teknologi semuanya mengalami peningkatan.

Tetapi yang paling diingati semestinya GST kad topup atau tambah nilai prabayar.

Ada yang kata perlu bayar 6% ataupun kalau nilai topup RM10, hanya dapat RM9.40 saja. Ada pula kedai menjualnya pada harga RM10.60.

Hanya baru-baru ini saja apabila selaras dengan pengumuman Kerajaan semasa Belanjawan 2016 pada bulan Oktober, syarikat-syarikat telekomunikasi akan memberikan rebat kepada pelanggan prabayar individu yang merupakan warganegara Malaysia, selama satu tahun sepanjang 2016.

Rebat yang bersamaan dengan jumlah GST akan dikreditkan terus ke dalam akaun prabayar mereka, berkuatkuasa 1 Januari hingga 31 Disember.

Ini bermakna pelanggan yang menambah nilai RM10, pada mulanya akan mendapat kredit sebanyak RM9.43, di mana GST 6% akan ditolak daripada tambah nilai tersebut.

Pelanggan akan menerima rebat sebanyak RM0.57 dalam tempoh 24 jam. GST yang dibayar oleh pelanggan akan dikumpul dan dibayar kepada Jabatan Kastam, selaras dengan Undang- Undang dan garis panduan GST bagi semua barangan dan perkhidmatan yang digunakan.

Apakah perkara kedua yang diingati?

Ya betul, insiden Low Yat sehingga cubaan mencetuskan isu perkauman dan ramai cuba mengambil kesempatan meskipun kesnya berkaitan dengan kecurian gajet saja.

Dari insiden tersebut, wujudlah pula pusat beli belah digital melayu atau bumiputera yanh dinamakan Mara Digital. Selepas penubuhan Mara Digital, sekali lagi insiden telefon berlaku dan kali ini Kota Raya pula bergegar dengan insiden penculikan pembeli telefon dan kes menipu pembeli yang betul-betul berlaku.

Kalau bercakap soal gajet pula, tahun 2015 menyaksikan pertembungan tablet hibrid. Jika sebelum ini, Microsoft berjaya membawa kegemilangan laptop yang agak merundum disebabkan telefon melalui Surface dan Surface Pro, langkah sama ditiru pula Apple dengan Apple Pro disebabkan permintaan laptop atau tablet hibrid sebegitu semakin hangat macam beli pisang goreng.

Malaysia pun tidak terkecuali apabila versi terbaru Surface Pro 4 dan iPad Pro kesemuanya boleh dibeli secara rasmi di negara ini sebelum 2015 berakhir.

Telefon pintar pula menyaksikan pengenalan RAM sebanyak 4GB buat kali pertama dan ia didahului ASUS melalui Zenfone 2.

Apa lebihnya RAM sampai 4GB? Akhirnya telefon boleh membawa grafik berat tanpa lag dan skrin yang cantik pun tiada masalah. Malaysia menerima telefon-telefon pintar ini pada tahun 2015 dan ia berjaya merubah gaya penggunaan telefon.

Skrin lengkung pula akhirnya dikeluarkan di dua-dua bahagian sisi pada produk Samsung Galaxy S6 edge. Gajet yang cantik menawan! Pada sisi skrin lengkung tersebut pengguna boleh melihat beberapa notifikasi ringkas tapi padat dan bermacam aplikasi boleh diletakkan di skrin lengkung tersebut.

Lagi? Korang jangan lupa pada hoverboard yang mula menjadi trend di Malaysia. Dengan harga antara RM1,000 ke RM5,000 sudah boleh mendapat papan elektrik yang boleh dicas pada plug elektrik biasa dan digunakan hingga sejam.

Selain hoverboard, dron juga memainkan peranan pada tahun ini dan ia juga menjadi isu apabila ada pemain digital itu cuba mendekati lapangan terbang untuk merakam gambar yang salah di sisi undang-undang.

Kalau anda rasa setakat itu saja, anda salah! Jangan lupa pada vape! Ia juga gajet berteknologi dan pada tahun ini saja kategori rokok elektronik tersebut mula membibitkan isu.

Selain isu haram, penguatkuasaan sehinggalah rampasan! Anda sendiri sudah pasti mengetahuinya!




BECOME A COCO+ MEMBER

Support local news and join a community of like-minded
“Coconauts” across Southeast Asia and Hong Kong.

Join Now
Coconuts TV
Our latest and greatest original videos
YouTube video
Subscribe on