Artikel ini dipetik dari rakan kami di TheSkop.com
Ramai yang komplen jalur lebar internet di Malaysia masih mahal, apatah lagi bila dibandingkan dengan Singapura & Thailand. Walaupun TM baru melancarkan pakej Unifi ADVANCE yang baru, masih ramai yang lebih berminat melanggan pakej lebih murah seperti Unifi VIP5 pada RM149/bulan.
Jika bercerita tentang internet jalurlebar terpantas, Maxis ada menawarkan kelajuan 100Mbps pada harga RM398/bulan. Jika mahal, TIME turut menawarkan internet jalurlebar 100Mbps tetapi dengan kuota 100GB/bulan, pada harga RM179/bulan.
Kini datang khabar terbaru, tentang peluang rakyat Malaysia menikmati internet pantas pada harga lebih rendah. Sebuah syarikat jalurlebar dari Singapura, mahu menggegarkan pasaran internet di Malaysia, dengan tawaran internet berkelajuan tinggi pada harga jauh lebih rendah.
MyRepublic, syarikat internet jalurlebar yang bertapak di Singapura, telah menimbulkan kekecohan apabila menawarkan internet jalurlebar dengan kelajuan 1Gbps dengan hanya SGD49/bulan (~RM150) semasa pelancarannya di Singapura.

Ketika itu, syarikat jalurlebar lain mengecas setinggi SGD395/bulan (~RM1215) untuk kelajuan yang sama. Tidak lama kemudian, semua syarikat menurunkan harga untuk bersaing dengan tawaran MyRepublic.
Menurut DigitalNewsAsia, MyRepublic mahu memasuki pasaran Malaysia dan berhasrat menawarkan internet jalurlebar selaju 100Mbps pada harga sekitar RM60-70/bulan. Malcolm Rodrigues, CEO MyRepublic berkata, beliau mahu menggegarkan pasaran dan tidak sabar untuk melakukannya secepat mungkin. Tetapi beliau terpaksa menunggu kelulusan kerajaan Malaysia terlebih dulu, dan berharap TM akan membuka akses rangkaiannya menjelang 2016.
Buat masa ini, pesaing jalurlebar lain seperti Maxis & P1 menggunakan rangkaian HSSB yang disediakan TM, tetapi berbeza dari apa yang diperlukan MyRepublic. Di samping itu, MyRepublic mendapatkan khidmat Michael Lai, bekas CEO P1 & TMnet untuk menerajui pasaran MyRepublic di Malaysia.
Mampukah MyRepublic menggegarkan pasaran jalurlebar di Malaysia? 100Mbps dengan hanya RM60/bulan nampak tak logik, sedangkan pelan Streamyx 1Mbps pun dicas RM116.60/bulan. Tetapi ia telahpun dilakukan MyRepublic di Singapura. Lihat tawaran lain yang MyRepublic sediakan di Singapura, di lamanwebMyRepublic.
Walaupun begitu, Maxis telahpun menawarkan pelan 10Mbps yang lebih murah, hanya RM148/bulan berbanding RM199/bulan di Unifi untuk kelajuan yang sama. Mungkin MyRepublic benar-benar mampu melakukannya. Apa harapan anda?
