Artikel ini dipetik dari rakan kami di TheSkop.com
Laman blog dan laman sosial selepas ini harus lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan. Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang dijangka dibentang di Parlimen Mac ini, akan menyelaras penguatkuasaan dalam menyekat laman blog yang memfitnah institusi kepimpinan negara.
Tambah beliau, sebaik saja mendapat kelulusan daripada Peguam Negara dan dikemukakan kepada Kabinet, ia akan dibentang dalam persidangan Mac ini. Pindaan ini akan turut menyekat artikel & catatan dalam laman sosial, yang menggugat ketenteraman dan kestabilan negara, serta melanggar Akta Hasutan yang diviralkan menerusi media sosial.
Ia berikutan laman seperti Sarawak Report, yang telahpun disekat akses oleh kerajaan, tetapi menggunakan wadah lain untuk terus menyebarkan berita. Pindaan akta ini membolehkan kawalan dikuatkuasakan di luar lamanweb, terutama sekali menerusi media sosial.
Pengguna media sosial terutamanya, haruslah menyelidik berita yang ingin disebarkan, dan memastikan ia adalah benar. Jangan mudah menekan ‘share’ atau RT atau repost, dengan semangat ‘Sharing is Caring’. Silap tekan, mungkin penjara tempatnya.
Sebagai contoh, berita wang derma RM2.6 bilion boleh disebarkan kerana ia telah disahkan oleh SPRM. Tetapi jangan pula sebarkan kisah RM4 bilion, kerana ia berita yang masih belum disahkan kebenarannya.
