Artikel ini dipetik dari rakan kami di TheSkop.com
Nampaknya hajat ramai rakyat Malaysia termakbul, apabila Apple hari ini mengumumkan ketibaan iPhone 6s dan 6s Plus ke Malaysia dalam masa terdekat.
Dalam kenyataan terbaru yang dikeluarkan Apple, Malaysia akan bersama India dan Turki, memulakan jualan telefon pintar iPhone 6s & 6s Plus pada hari Jumaat, 16 Oktober, 2015. Tarikh ini kurang dari 3 minggu dari sekarang. Malaysia dikira berada dalam gelombang ke-4, dengan tarikh penjualan pada 16 Oktober ini.
Apple memulakan jualan pertama iPhone 6s & 6s Plus di beberapa negara terpilih, pada 25 September 2015, dengan Singapura menjadi destinasi paling hampir dengan Malaysia. Sejak tarikh itu, AP set telah mula berkeliaran di pasaran Malaysia, dengan harga yang di luar logik akal manusia biasa.
Apple iPhone 6s & 6s Plus, membawakan beberapa fungsi baru yang menarik, dengan fungsi 3D touch ala Force Touch pada Apple Watch, paling dinantikan orang ramai. Apple juga menaik taraf kamera iSight mereka ke 12MP, dengan kebolehan rakaman video 4K.
Apple turut menaik taraf bahan yang digunakan untuk badan iPhone 6s, kepada Aluminum siri-7000 yang sama dengan Samsung Galaxy S6. Aluminum yang lebih teguh ini, menjadikan ia lebih sukar dibengkokkan, berbanding iPhone 6 yang dihantui masalah ini sejak ia mula diperkenalkan. Ia juga tampil dengan warna baru, Rose Gold bersama tiga warna sedia ada, iaitu Silver, Space Grey dan Gold.

Dengan tarikh yang sangat hampir ini, pasti ia membuatkan penjualan set AP dengan harga luar biasa ini jatuh mendadak. Tetapi, berapakah pula harga rasmi iPhone 6s & 6s Plus di Malaysia kelak? Kami jangkakan, ia akan lebih murah berbanding harga Singapura, walaupun kadar tukaran Ringgit Malaysia sangat lemah berbanding Dolar Singapura.
Jadi, sanggupkah anda menunggu lagi 3 minggu untuk mendapatkan telefon pintar terbaru Apple ini. Ataupun ketidaksabaran membuatkan terus menyerbu pekedai yang menjual set AP, atau turun sendiri ke Singapura dan membeli dalam Dolar Singapura?
