Seramai 26 pelayan pelanggan (GRO) di sebuah premis hiburan di Pulau Tikus, George Town ditahan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tengah malam semalam, kerana GRO tersebut terlalu ghairah menjalankan tugas sehingga mereka tidak sedar yang premis mereka sedang diserbu.
Ketua Polis daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid memberitahu Sinar Harian bahawa serbuan yang dilakukan pada 12.30 tengah malam itu berjaya menahan 19 warga China dan tujuh warga Vietnam berusia dalam lingkungan 21 hingga 35 tahun.
“Ketika serbuan, mereka sedang leka melayan pelanggan. Selepas menyedari pusat hiburan itu diserbu, mereka cuba melarikan diri melalui beberapa laluan khas yang disediakan namun gagal,” katanya.
“Polis turut menahan tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun yang bertindak sebagai penjaga kepada GRO dan pusat hiburan berkenaan.”
Tambah ACP Mior lagi, premis pusat karaoke yang diserbu itu juga diawasi sekumpulan tonto yang ditugaskan melaporkan aktiviti polis di luar kelab kepada pihak pengurusan di dalam.
“Kita dapati memang ada sekumpulan tonto yang menjaga premis berkenaan namun dengan penyamaran dan risikan, kita berjaya menyerbu masuk ke pusat berkenaan.
“Siasatan awal mendapati ia pernah beberapa kali diserbu sebelum ini namun tidak serik. Kesemua GRO itu menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai dokumen perjalanan,” katanya.
Menurutnya, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk proses dokumentasi.
“Selepas selesai proses dokumentasi, mereka dihantar ke depoh tahanan di Juru untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1969/63, dan Seksyen 39(B) Peraturan Imigresen 1969/63,” katanya.
Foto: Sinar Harian
Have you seen TOP 10 THINGS TO DO IN PENANG?
