Vin Diesel punya pasal la ni.
Dua lelaki disyaki memecah masuk sebuah rumah di Jalan Uda berdekatan Butterworth, Pulau Pinang, berkejar-kejaran dengan pihak polis sejauh 10km sebelum kereta yang mereka pandu merempuh sebuah balai polis bergerak.
Dalam kejadian pukul 9.10 malam semalam, dua suspek tersebut melarikan diri dalam sebuah Proton Wira apabila pihak polis cuba menahan mereka gara-gara berkelakuan mencurigakan di Kawasan Perindustrian Mak Mandin.
Ketua polis daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim memberitahu Harian Metro, kedua-dua suspek bergegas ke kereta mereka apabila dihampiri pegawai polis dan melarikan diri – sehinggalah mereka merempuh sebuah balai polis bergerak di Jalan Permatang Pauh, kira-kira 10km dari permulaan kejadian kejar-mengejar itu.
Berikutan kemalangan antara Wira dan balai polis bergerak itu, kereta dipandu suspek remuk terbabas dengan pengadang jalan, sementara seorang anggota polis yang bertugas di dalam balai polis bergerak itu cedera.
Kedua-dua suspek akhirnya ditahan berdekatan sebuah bank di Jalan Lunas, Seberanhg Perai Tengah.
ACP Abdul Rahman berkata pemeriksaan terhadap muatan Proton Wira tersebut mendedahkan peralatan pecah rumah, wang tunai sebanyak RM868 dan beberapa dompet, kad pengenalan, telefon bimbit, jam tangan, komputer riba, dan barangan elektrik, dipercayai milik mangsa kedua suspek tersebut.
Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut.
Lain kali baik langgar pokok je. Langgar balai polis – walaupun yang bergerak – memang tak smart la.
