Artikel ini dipetik dari rakan kami di TheSkop.com
Jualan dalam talian dengan pelbagai tawaran dan diskaun terhebat, kembali lagi. Bermula dari 28 September sehingga 2 Oktober 2015, klik pada semua barangan yang ditawarkan sampai lenguh jari jemari, dalam jualan 5 hari #MYCYBERSALE 2015.
Sebuah inisiatif Digital Malaysia di bawah Multimedia Development Corporation (MDeC), #MYCYBERSALE 2015 merupakan platform pemangkin kepada perkembangan e-dagang di Malaysia. Ia disasarkan untuk meningkatkan jualan dalam negara, dengan menggalakkan peniaga menyertai ekosistem e-dagang, dan menarik minat pembeli dalam talian.
#MYCYBERSALE yang dimulakan pada tahun 2014, telah mencatat keuntungan RM67 juta menerusi 227,000 transaksi jualan. Angka ini merupakan peningkatan 200% dari jangkaan peniaga e-dagang sendiri. Tempoh jualan juga dilanjutkan ke 5 hari, berbanding 3 hari tahun lepas.

Tahun ini, #MYCYBERSALE 2015 bekerjasama dengan 8 rakan premium iaitu VISA, DiGi, dan Maybank untuk bahagian promosi, serta Telekom Malaysia (TM), POS Malaysia, 57square, eGentic, dan MilkADeal: Cashback sebagai rakan industri.
Jualan #MYCYBERSALE 2015 kali ini menyaksikan penyertaan lebih 400 peniaga e-dagang, termasuk dari Luar Lembah Klang seperti Sabah, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang. Jumlah ini meningkat 40% berbanding jumlah peniaga pada tahun lepas.
Semakin banyak portal gergasi e-dagang menyertai #MYCYBERSALE 2015. Antaranya seperti 11street.my, GEMFIVE, Go Shop, Qoo10 dan Agrobazaar bersama sokongan peserta sedia ada dari Lazada, Zalora, Lelong.my, Rakuten dan Groupon.
Selain jualan dengan diskaun sehingga 90%, #MYCYBERSALE 2015 turut menawarkan ganjaran serta cabutan bertuah kepada pembeli sepanjang tempoh kempen ini. Hadiah bernilai lebih RM 50,000 disediakan untuk bakal pembeli bertuah. Senarai hadiah cabutan bertuah boleh dilihat di sini.
