Artikel ini dipetik dari rakan kami di TheSkop.com
Tahun baru 2016 bakal tiba, dan banyak perkara baru akan datang. Salah satu darinya, adalah berkenaan tambah nilai prabayar.
Selepas banyak pusingan-u dibuat, akhirnya kerajaan memutuskan, pengguna akan mendapat kredit prabayar RM10, bagi pembelian tambah nilai RM10. Tiada caj tambahan dikenakan semasa belian tambah nilai.
Keputusan ini diumumkan ketika pembentangan belanjawan 2016. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di lamanwebnya memberi penjelasan lanjut tentang perlaksanaan tambah nilai ini. Kami rumuskannya dalam penerangan di bawah.
Harga tambah nilai
Bermula 1 Januari 2016, tambah nilai RM10 akan dijual pada harga RM10, tambah nilai RM30 pada harga RM30 jua, seperti sebelum GST dilaksanakan. Tidak perlu membayar 6% tambahan.
Malah, stok lama tambah nilai ini juga, mesti dijual pada harga yang sama, tanpa caj tambahan. Kerana itu, beberapa syarikat prabayar menawarkan bonus atau hadiah tambahan, jika membeli tambah nilai sebelum 31 Disember 2015.
Tetapi sebenarnya, ia tidak semudah itu. GST tetap dikenakan semasa tambah nilai dibuat. Untuk tambah nilai RM10, pengguna akan mendapat kredit RM9.43 sahaja. Ini bagi memudahkan pembelian, tidak perlu menggunakan duit syiling.
Sistem ini akan berjalan selama setahun, sehingga 31 Disember 2016.
Rebat GST
Apa yang berbeza adalah, rebat akan diberikan semula kepada setiap tambah nilai. Tetapi, ia hanya sah untuk warganegara Malaysia sahaja. Rekod ini dirujuk berdasarkan kad pengenalan (MyKad) atau kad askar/polis yang digunakan semasa mendaftar nombor prabayar.
Menurut SKMM, GST 6% yang dikenakan ini, akan diberikan semula kepad apengguna dalam masa 24 jam. Jika pengguna membuat tambah nilai RM10, kredit yang akan terus tertera adalah RM9.43. Tetapi baki RM0.57 akan dimasukkan ke dalam akaun pengguna dalam masa 24 jam, menjadikan kredit kepada RM10 semula.
Perlu diingatkan, rebat ini hanya untuk warganegara Malaysia. Pengguna harus memastikan, nombor prabayar mereka telah didaftarkan dengan MyKad atau kad askar/polis, untuk menikmati rebat tambah nilai prabayar ini.
Untuk pengguna pascabayar, tiada rebat diberikan. Cukai GST 6% akan terus dinikmati pengguna pascabayar.
Servis prabayar apa yang dikenakan GST?
Semua penggunaan tempatan iaitu panggilan, SMS, data dan servis mudahalih tertakluk di bawah GST. Manakala penggunaan luar negara seperti perayauan, termasuk di dalam senarai GST berkadar sifar.
Maklumat lanjut berkenaan sistem tambah nilai baru ini, boleh dirujuk di lamanweb SKMM dan CFM. Pastikan nombor telefon prabayar anda telah didaftarkan dengan MyKad atau kad asakar/polis Malaysia. Rujuk ke cawangan syarikat prabayar untuk pengesahan.
