Cuba bayangkan lima orang berkerumun di bawah bumbung flat dua bilik – sempit la sikit, kan? Sekarang cuba fikir betapa sempitnya kalau lima keluarga, dengan jumlah ahli seramai 23 orang, terpaksa berkongsi flat yang sama.
Keperitan selama hampir setengah tahun itu terpaksa diharungi oleh Zubaidah A Hamid, 55, yang berkongsi sebuah flat kecil di Perumahan Awan Sri Perak, Bandar Baru Sentul bersama anak-anak, menantu, dan cucunya.
Anak-anaknya yang sebelum ini menyewa rumah berasingan meminta untuk menumpang bersamanya setelah diusir dari rumah sewa mereka.
“Tahu sajalah di Kuala Lumpur bukan senang nak dapat rumah sewa harga rendah. Jadi semua tinggal dengan makcik termasuk tujuh cucu,” jelas Zubaidah kepada Hidayah Hairom dari Sinar Harian.
Bebanan keluarga Zubaidah berkurangan sedikit setelah sala seorang daripada anaknya, Siti Aisyah Che Ros, 30, menerima tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Batu Muda semalam.
“Kami lima keluarga berjumlah 23 orang tinggal dalam satu rumah flat dua bilik, jadi bila salah seorang anak makcik dapat tawaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), rasa bersyukur sangat,” ujar Zubaidah.
Namun, dua lagi anaknya masih menungu mendapat surat tawaran dari skim PPR.
“Dua anak mak cik pernah mohon PPR sejak 2010, baru sekarang ini salah seorang dapat. Legalah juga. Tapi makcik harap dua lagi anak makcik termasuk seorang yang ibu tunggal, dapat juga rumah untuk keselesaan mereka,” katanya.
Kisah Zubaidah dan keluarganya mendapat tumpuan dari Skuad Jejak Kasih yang beroperasi di bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang ditubuhkan untuk mengenalpasti pihak-pihak yang memerlukan bantuan skim PPR dengan segera.
Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Komuniti Sosial, Wan Mohammad Ghazali Nor, juga telah turun padang melihat keadaan keluarga berkenaan.
