Artikel ini dipetik dari rakan kami di TheSkop.com
Salah satu tarikan yang dibawa Netflix ke Malaysia, adalah tiada tapisan di dalam tayangan videonya. Tetapi ia mungkin tidak boleh diteruskan, tanpa pengawasan dari pihak berkuasa Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, Netflix masih perlu mengikut garis panduan yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Walaupun Netflix adalah penyedia kandungan aplikasi OTT seperti Facebook, Netflix masih perlu mengikut undang-undang setempat.
Datuk Seri Salleh Said Keruak – Gambar BERNAMA
SKMM boleh mengambil tindakan terhadap Netflix, jika mendapati terdapat adegan yang melanggar standard kawalan penyelia, dan ditayangkan melalui Netflix Malaysia. SKMM akan memaklumkan standard tayangan di Malaysia, kepada Netflix.
Kerajaan masih mengkaji untuk mengubahsuai peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, untuk memperkenalkan lesen kepada penyedia kandungan OTT. Penyedia kandungan OTT menyediakan kandungan tanpa melibatkan penyedia rangkaian seperti Celcom dan Maxis. Berbeza dengan iflix, yang menyediakan servis yang sama seperti Netflix, dengan bantuan IPTV Telekom Malaysia.
Kenyataan Datuk Seri Salleh, boleh dilihat sebagai jawapan kepada kenyataan dari Malay Mail, yang menyatakan Netflix tidak akan menapis kandungan mereka di Malaysia.
Netflix yang baru tiba di Malaysia, menawarkan pelbagai kandungan video secara penstriman dengan langganan dari serendah RM33 sebulan. Manakala iflix yang telah bertapak selama setahun, menawarkan servis yang sama, serendah RM8 sebulan.
