Artikel ini dipetik dari rakan kami di TheSkop.com
Netflix baru mengumumkan keberadaannya di seluruh dunia, dalam satu majlis di CES 2016 pagi tadi. Bersempena itu, Malaysia turut sama dapat menikmati servis penstriman video yang disediakan Netflix ini, bermula hari ini juga.
Ramai yang teruja apabila mendapat tahu tentang perkara ini. Tapi, tahan dulu kuda tu. Jom semak balik, apa yang diberikan oleh Netflix di Malaysia.
1. Mula Menonton Netflix
Aplikasi Netflix terdapat pada hampir semua peranti yang boleh berhubung ke internet. Semudah melayari lamanweb www.netflix.com, ataupun menerusi peranti Android, iOS dan Windows Phone.
Beberapa model TV pintar terbaru turut didatangkan siap dengan Netflix. Jika tidak pun, anda boleh menyambungkan Google Chromecast atau Apple TV, untuk menonton di skrin besar TV. Lebih baik lagi, konsol permainan seperti PlayStation dan Xbox turut menyokong Netflix.
Untuk mula menonton, daftarkan akaun baru di www.netflix.com, dan pilih pelan yang bersesuaian. Netflix memberikan pengguna yang baru mendaftar, percubaan selama 30 hari percuma. Tetapi ia memerlukan anda memasukkan maklumat kad kredit semasa pendaftaran. Jika tiada masalah, pendaftaran ini boleh selesai dalam masa 5 minit sahaja.
Anda boleh membatalkan langganan, sebelum tempoh percubaan 30 hari tamat. Dengan ini, tiada caj akan dikenakan.
2. Pelan Dan Harga
Terdapat tiga jenis pelan yang ada di Netflix. Paling murah, pelan BASIC dengan caj RM33 sebulan, memberikan pengguna tontonan berkualiti SD, di satu peranti sahaja.
Pelan STANDARD pula, mengenakan caj RM42 sebulan dan memberikan pengguna menonton pada kualiti HD, samada 720p atau 1080p. Ia juga membenarkan pengguna menonton di dua peranti serentak.
Jika mahu menonton Netflix di lebih dari 2 peranti, anda perlu melanggan pelan PREMIUM yang berhargaRM51 sebulan. Ia memberi pengguna tontonan serentak di 4 peranti, serta kualiti video Ultra HD lebih tinggi, jika terdapat pada video yang ditonton.
Perlu diingatkan, ini hanyalah kos langganan sahaja. Anda perlu membayar caj penggunaan internet sendiri. Tidak kiralah jalur lebar di rumah, ataupun internet mudahalih 3G/4G.
3. Sambungan Internet
Netflix adalah servis penstriman video. Jadi, ia memerlukan sambungan internet yang bukan sahaja pantas, tetapi stabil untuk pengalaman menonton yang lancar. Untuk itu, Netflix mencadangkan kelajuan sambungan seperti berikut:
Kelajuan yang disyorkan
0.5 Megabit sesaat – kelajuan minima
1.5 Megabits sesaat – kelajuan yang disyorkan
3.0 Megabits sesaat – kelajuan yang disyorkan untuk kualiti SD
5.0 Megabits sesaat – kelajuan yang disyorkan untuk kualiti HD
25 Megabits sesaat – kelajuan yang disyorkan untuk kualiti Ultra HD
Penggunaan Internet
Rendah (0.3 GB sejam)
Pertengahan (SD: 0.7 GB sejam)
Tinggi (Kualiti terbaik, sehingga 3GB sejam untuk HD, dan 7GB sejam bagi Ultra HD)
Secara lalai, kualiti video ditetapkan kepada Auto, yang berubah mengikut tahap kelajuan internet pengguna. Jika mahu menjaga kuota data, kualiti video boleh diturunkan menerusi “Your Account > Playback Settings”. Untuk lebih selamat, anda boleh menetapkan kepada sambungan Wifi sahaja.
4. Tiada Tontonan Luar Talian
Tidak seperti iflix, Netflix tidak mempunyai fungsi muat turun untuk tontonan luar talian. Ini pasti sukar jika anda mahu membawanya ketika perjalanan yang jauh, terutama sekali di dalam kapalterbang.
Dengan iflix, anda boleh memuat turun video yang ingin ditonton menerusi peranti android atau iOS. Ia boleh menyimpan sehingga 10 tajuk, dan disimpan selama 7 hari, sebelum dipadam secara automatik. Jadi, pengguna boleh memuat turun siap-siap menerusi sambungan Wifi, dan tidak risaukan lagi sambungan untuk menonton semasa di jalanan.
5. Pilihan Kandungan
Walaupun Netflix kini rasmi berada di Malaysia, anda masih tidak mendapat akses penuh kepada pustaka kandungannya, seperti yang dinikmati pengguna di Amerika Syarikat. Rancangan TV yang popular sperti Friends, Agents of S.H.I.E.L.D., House of Cards, Big Bang Theory, Flash dan Agent Carter, tidak boleh ditonton di Malaysia.
Tetapi anda masih boleh menikmati beberapa tajuk eksklusif lain seperti Daredevil, Marco Polo, Orange is the new Black dan Jessica Jones. Dalam hal ini, iflix dilihat lebih relevan untuk pengguna di Malaysia. Malah, iflixmempunyai kandungan tempatan seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina. Anda juga boleh memilih sarikata dan bahasa semasa menonton.
Pendek kata, anda tidak akan mendapat pengalaman penuh menggunakan Netflix di Malaysia. Ini kerana terdapat hak penyiaran setempat, yang berbeza mengikut negara. Jika mahu yang terbaik dari Netflix, nampaknya VPN masih relevan untuk menyelesaikannya.




